Analisis Gurindam 12






1.0       Pengenalan
Menurut definisi oleh Wilkinson dalam Za’ba (2002:245), perkataan gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit  yang mana masyarakat memahami perkataan gurindam sebagai sesuatu pepatah berangkap yang disebutkan berpadan dengan tempatnya. Gurindam juga boleh diertikan sebagai suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatnya atau rangkapnya dan isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang menarik. Gurindam mempunyai sifatnya yang tersendiri. Antara sifat gurindam ialah bahasanya seperti bahasa menyanyi, perkataannya banyak menggambarkan keindahan alam dan mengambil perbandingan daripada keindahan itu dengan menggambarkan isinya dengan warna yang cantik serta isi dan maksud gurindam bersifat terus menerus.
 Dalam masyarakat Melayu, bentuk gurindam boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang terikat dan yang tidak terikat. Bentuk yang terikat bukan sahaja terdiri daripada dua baris serangkap yang berpasangan dan berirama tetapi bentuk seuntai gurindam yang terikat memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkannya sebagai satu keseluruhan idea. Baris pertama akan berfungsi sebagai syarat dan baris kedua sebagai jawapan. Setiap barisnya pula mengandungi dua hingga enam patah perkataan dengan pola rima aa. Penggunaan bahasannya lebih bernas dan serius manakala isinya mengandungi nasihat, pengajaran dan kebenaran.
Secara umumnya Gurindam Dua belas mempunyai dua belas fasal. Setiap baris dalam gurindam membawa makna yang lengkap dan saling berkesinambungan antara baris pertama terhadap baris berikutnya. Baris pertama merupakan fikiran dan baris kedua merupakan jawapan bagi menyatakan maksud pada baris pertama. Jumlah perkataan dalam satu baris tidak tetap antara 2 hingga 6 perkataan dalam satu baris. Rima akhir bagi Gurindam Dua Belas ialah aa. Makna dalam setiap fasal berbeza-beza, antaranya ialah ibadat manusia, budi bahasa, kewajipan raja, sifat-sifat dalam masyarakat, dan kewajipan terhadap orang tua. Gurindam Dua Belas ini dapat dianggap sebagai satu nasihat dan pedoman masyarakat dalam menjalani kehidupan.
2.0       Latar belakang Raja Ali Haji
Nama sebenar Raja Ali Haji ialah Tengku Haji al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu Daeng Celak. Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat Indera Sakti pada tahun 1809  yang pada ketika itu menjadi pusat pemerintahan Riau-Lingga-Johor dan Pahang. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang isteri antaranya Sulung, Raja Halimah, Raja Safiah dan Daing Cahaya. Perkahwinan beliau dikurniakan beberapa orang anak.
Dalam bidang pendidikan, Raja Ali Haji mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri iaitu Raja Ahmad yang terkenal sebagai seorang intelek pada ketika itu. Pendidikan seterusnya daripada seorang ulama yang silih berganti datang ke Riau bermula pada pemerintahan YangDipertuan Muda Raja Jaafar. Pada usia 18 tahun, beliau mengikuti ayahnya ke Makkah untuk mendalami ilmu agama di sana. Kewibawaan Raja Ali Haji sebagai guru agama amat dikenali kerana Pulau Penyengat sering dikunjungi oleh ulama luar dan beliau menjadi penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman (1831-1844), Raja Ali (1844-1857), Raja Abdullah (1857-1858) dan Raja Muhammad Yusuf.
Antara karya yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji ialah Gurindam Dua Belas, Bustanul Katibin, Tsamaratul Muhimmah, Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfatun Nafis, Syair Hukum Nikah, Syair Sinar Gemala Mustika Alam dan Syair Siti Sianah. Karya yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji dianggap sebagai karya agung kerana mempunyai nilai yang tersendiri dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Bentuk dan isi sesuatu karya yang dihasilkan mempunyai perkaitan yang rapat dengan latar belakang pengarang itu sendiri. Sebagai contoh melalui karya Tuhfat al-Nafis, pembaca dapat mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang keluarga dan kehidupan beliau yang mana ibunya Hamidah merupakan anak Panglima Perang Malik dari Selangor.  Manakala bagi karya Tsamratul Muhimmah atau judul lengkapnya Tsamratul Muhimmah  Dyiyafatu lil Umara’ wal Kubara’ lil ahlil Mahkamah yang diselesaikan pada hari Selasa 10 Syaaban 1275H/1858M merupakan satu kitab pedoman untuk golongan raja-raja, hakim, menteri serta pembesar-pembesar lain dalam sesuatu kerajaan atau pemerintahan.
3.0       Falsafah
Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba yang mana ia merupakan gabungan dua perkataan iaitu philo yang bermaksud cinta dan Sophia yang bermaksud kebijaksanaan. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagai cinta akan kebijaksanaan, menurut definisi Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010: 406), falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi yang menjadi dasar ilmu yang lain. Selain itu, falsafah juga boleh didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau huikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki. Menurut Mohd Rashid Md Idriset.al (2014 : 16), falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran yang mana falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi bagi tujuan untuk mendapatkan kebenaran.  Dalam sesuatu karya agung, falsafah ini akan dilihat sebagai satu pemikiran terhadap sesuatu dengan sangat mendalam. Falsafah akan membincangkan sesuatu perkara dengan terperinci bagi mendapatkan jawapan yang benar tentang perkara tersebut.
Dalam Gurindam Dua Belas, falsafah yang boleh dilihat ialah falsafah keagamaan. Raja Ali Haji yang merupakan seorang tokoh agama menerapkan aspek keagamaan dalam penghasilan gurindam beliau. Aspek keagamaan ini jelas dapat dilihat pada fasal pertama dan kedua gurindam ini. hal ini boleh dirujuk pada rangkap berikut :
Barang siapa mengenal yang tersebut
Tahulah ia makna takut
Barang siapa meninggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang
Barang siapa meninggalkan puasa
Tidaklah mendapat dua termasa
Barang siapa meninggalkan zakat
Tiadalah hartanya beroleh berkat
Barang siapa meninggalkan haji
Tiadalah ia menyempurnakan janji.
 (Gurindam 12: Fasal Kedua)
Dalam Fasal Kedua ini secara umumnya Raja Ali Haji menerapkan Rukun Islam dalam penghasilan gurindam ini. Berdasarkan rangkap dalam fasal kedua ini ada dinyatakan tentang kewajipan solat, puasa, zakat dan haji yang mana merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan bagi seseorang yang beragama Islam dan akibat jika meninggalkannya malah bagi orang Islam Rukun Islam ini merupakan pegangan hidup yang perlu diikuti dalam menjalani kehidupan. Manakala pada  Fasal Pertama gurindam ini, Raja Ali Haji menyatakan tentang agama dan kepercayaan manusia terhadap Allah swt. Dengan kepercayaan kepada Allah swt,  seseorang manusia itu perlu mengenal empat zat yang menjadikan manusia iaitu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat dalam mencapai kesempurnaan menjalani kehidupan.
Selain itu, pada Fasal Pertama juga menceritakan aspek keagamaan dengan jelas iaitu orang yang mengenal Allah swt, pasti akan mengikut setiap perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA. Hal ini boleh dirujuk pada rangkap berikut :
Barang siapa mengenal Allah SWT
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah.
Dalam Fasal Pertama ini juga ada diselitkan ingatan bagi manusia yang memikirkan hal keduniaan dalam kehidupannya dan ingatan mengenai dunia Akhirat. Melalui gurindam ini, Raja Ali Haji memberi peringatan kepada setiap manusia agar tidak tertipu dengan hal keduniaan dan mengingati hari Akhirat yang mana setiap amalan manusia akan disoal. Hal ini dapat dirujuk pada rangkap berikut :
Barang siapa mengenal dunia
Tahulah ia barangyang terpedaya
Barang siapa mengenal Akhirat
Tahulah ia dunia mudharat.
Selain daripada falsafah keagamaan, Gurindam Dua Belas juga menunjukkan falsafah etika. Etika berasal daripada perkataan ethics yang diambil daripada perkataan ethos yang membawa maksud sikap dan adat yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan. Etika merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul. Dalam Gurindam Dua Belas, falsafah etika dapat dilihat pada Fasal Keempat, Fasal Kelima, Fasal Ketujuh, dan Fasal Kesepuluh yang mana secara umumnya menyatakan tentang budi pekerti yang perlu diamalkan dan hubungan dengan orang yang lebih tua. Falsafah etika ini mempunyai hubungan dengan perwatakan diri seseorang individu. Hal ini boleh dilihat pada rangkap berikut:
Jika hendak mengenal orang berbangsa
Lihat kepada budi dan bahasa
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia
Sangat memelihara yang sia-sia
(Gurindam 12: Fasal Kelima)
Pada rangkap dalam Fasal Kelima tersebut jelas menunjukkan budi bahasa seseorang akan menggambarkan bangsanya dan orang yang bermanfaat ialah orang yang tidak melakukan perbuatan yang sia-sia. Melalui penyampaian gurindam ini, secara tidak langsung Raja Ali Haji menyelitkan moral dan etika yang perlu diamalkan oleh setiap individu dalam menjalani kehidupan seharian.
4.0       Pemikiran
Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014: 69), pemikiran bermula dengan idea yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek dan kemudiannya menjadi buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri dalam pemilihan bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakan menjadi mesej dalam karya. Dalam Gurindam Dua Belas, pemikiran yang boleh dilihat ialah aspek keagamaan, budi bahasa, dan pentadbiran.
Pemikiran dari aspek keagamaan boleh dilihat pada Fasal Pertama dan Kedua yang mana pada Fasal Pertama, Raja Ali Haji menyatakan dengan jelasnya mengenai kepercayaan kepada Tuhan dan agama yang dianuti. Setiap individu perlu memiliki agama dalam kehidupan seharian dan orang yang tidak beragama akan sesat dalam menjalani kehidupannya. Hal ini dapat dilihat pada rangkap pertama iaitu :
Barang siapa tiada memegang agama
Sekali-kali tidak boleh dibilang nama.

Selain itu, bagi setiap individu dengan mengenal pencipta, ia akan memelihara diri mereka daripada melakukan sesuatu perkara yang mungkar. Raja Ali Haji juga menyelitkan bagi mencapai kesempurnaan dalam menjalani kehidupan, seseorang individu perlu mengenal empat zat yang utama iaitu syariat, taarikat, hakikat dan makrifat. Hal ini dapat dirujuk pada rangkap kedua seperti berikut:
Barang siapa mengenal yang empat
Maka yaitulah orang yang ma’rifat.
Manakala pada Fasal Kedua, Raja Ali Haji menyatakan mengenai kewajipan manusia terhadap agama iaitu solat, puasa, zakat dan haji. Aspek keagamaan yang dinyatakan dalam bentuk gurindam akan memudahkan kepada setiap individu untuk memahami dan melakukannya. Walaupun dinyatakan dalam bentuk gurindam, Raja Ali Haji menyelitkan akibat bagi individu yang meninggalkannya.
Pemikiran seterusnya ialah budi bahasa bagi seseorang individu dalam menjalani kehidupan. Raja Ali Haji menggunakan elemen anggota badan dalam menyampaikan pemikiran budi bahasa dalam kehidupan manusia antaranya mata, telinga, lidah, tangan, perut dan kaki. Hal ini jika diteliti, anggota badan yang dinyatakan dapat memberi kesan positif  kepada individu sekiranya digunakan dengan bermanfaat. Misalnya lidah digunakan untuk bercakap sesuatu yang baik, pasti memberi manfaat kepada pendengar. Pemikiran budi bahasa ini secara tidak langsung boleh diamalkan dalam diri masyarakat untuk komunikasi antara satu sama lain.
Selain itu, dalam Fasal Keempat, Raja Ali Haji mengetengahkan peranan hati dalam melahirkan budi pekerti yang mulia. Raja Ali Haji mengungkapkan bahawa hati merupakan kerajaan di dalam tubuh manusia, sekiranya zalim maka seluruh tubuh turut terjejas. Peranan hati ini amat penting kerana ia mendorong pelakuan manusia secara positif atau negatif dan manusia perlu bijak dalam mengurus dirinya agar tidak melakukan perkara yang sia-sia dan dibenci. Raja Ali Haji juga menitikberatkan soal pergaulan dalam kehidupan yang mana beliau menyarankan untuk mencari sahabat yang baik dan guru dalam memberi tunjuk ajar dalam menghadapi kehidupan. Hal ini dapat dirujuk pada Fasal Keenam iaitu :
Cahari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan obat
Cahari olehmu akan guru
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Pemikiran mengenai pentadbiran juga dinyatakan oleh Raja Ali Haji pada Fasal Keduabelas. Dalam Fasal Keduabelas ini diselitkan aspek pentadbiran yang melibatkan raja, menteri dan rakyat. Dalam sesebuah pentadbiran, hubungan baik antara satu sama lain perlu dijaga bagi memastikan keharmonian dalam pentadbiran. Hal ini boleh dilihat pada rangkap berikut :
Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagarkan duri
Hukum adil atas rakyat
Tanda raja beroleh inayat 
5.0       Estetika
Estetika merupakan rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan dalam pemikiran seseorang. Nilai estetika dalam Gurindam Dua Belas dapat dilihat melalui penggunaan gaya bahasa yang digunakan dalam rangkap gurindam tersebut. Terdapat beberapa gaya bahasa boleh didapati dalam gurindam ini antaranya simile, imejan, paradoks, anafora dan rima.
5.1       Simile
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005:52), simile merupakan perbandingan terus iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi sengaja kita menganggapnya sama dengan menggunakan kata ‘seperti, bagai, ibarat dan macam’. Dalam gurindam ini, gaya bahasa simile boleh dilihat pada rangkap berikut:
Barang siapa meninggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang
(Gurindam 12: Fasal Kedua)
5.2       Imejan
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005:53), imejan didefinisikan sebagai gaya bahasa perbandingan iaiatu pemakaian kata atau beberapa kata yang menghasilkan efek melalui penggunaan pancaindera seperti melalui pendengaran, penglihatan atau perasaan. Dengan itu, imejan merupakan satu cerminan atau gambaran tentang sesuatu yang dapat dikesan melalui pancaindera. Hal ini dapat dilihat pada rangkap berikut yang mana Raja Ali Haji menggunakan beberapa anggota pancaindera dalam penyampaian gurindamnya dalam Fasal Ketiga.
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita
Apabila terpelihara kuping
Khabar yang jahat tiadalah damping
Apabila terpelihara lidah
Niscaya dapat daripadanya faedah
5.3       Paradoks
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005:62), paradoks ialah sejenis gaya bahasa pertentangan yang mengandungi pertentangan yang nyata dengan fakta-fakta yang ada tetapi kenyataannya mengandungi kebenaran dengan pendapat realiti. Unsur gaya bahasa paradoks boleh dilihat pada rangkap berikut :
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah tanda hampirkan duka.
(Gurindam 12: Fasal Ketujuh) 
5.4       Anafora
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005: 28), Anafora didefinisikan sejenis gaya bahasa perulangan perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu.Dalam rangkap tersebut, berlaku perulangan frasa ‘cahari olehmu’, dan ‘yang boleh’. Penggunaan gaya bahasa anafora dalam Gurindam Dua Belas dapat dilihat pada rangkap berikut :
Cahari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan obat
Cahari olehmu akan guru
Yang boleh tahukan tiap seteru
Cahari olehmu akan isteri
Yang boleh menyerahkan diri
(Gurindam 12: Fasal Keenam)
5.5       Rima
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir ( 2005: 34), rima didefinisikan sebagai bunyi yang sama atau kata akhir dalam sesuatu rangkap yang terdapat dalam syair, gurindam, dan pantun. Rima boleh dianggap sebagai susunan bunyi atau keselarasan huruf pada akhir kata atau suku kata terakhir dalam sesuatu baris, misalnya aaaa,abab, abcbc dan sebagainya. Dalam Gurindam Dua Belas ini, rima akhir ialah berbentuk aa. Hal ini boleh dirujuk pada rangkap berikut :
Dengan bapa jangan derhaka
Supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai
Supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan kawan hendaklah adil
Supaya tangannya jadi kapil.
(Gurindam 12:Fasal Kesepuluh)
6.0       Kepengarangan

Kepengarangan boleh merujuk kepada keperibadian yang dicapai pengarang. Keperibadian merupakan satu kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang  ia seharusnya berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing. Dalam Gurindam Dua Belas, aspek kepengarangan yang dapat dilihat ialah berunsurkan keagamaan, pegangan hidup, budi bahasa, pergaulan dan pentadbiran. Secara umumnya, Gurindam Dua Belas mempunyai hubung kait setiap individu dalam menjalani kehidupan dan merangkumi aspek sosiobudaya dan masyarakat seseorang individu.
7.0       Kesimpulan
Secara kesimpulannya, Gurindam Dua Belas mempunyai nilai karya agung yang unggul dari aspek falsafah, pemikiran, estetika dan kepengarangan. Nilai karya agung yang unggul ini boleh diadaptasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan individu yang berkualiti. Selain itu, Gurindam Dua Belas ini perlu dipelihara keunggulannya agar generasi akan datang juga turut dapat menghayatinya. Hal ini kerana keunggulan Gurindam Dua Belas berjaya meninggalkan kesan pemikiran, falsafah yang boleh diamalkan dan diingati dalam sesebuah bangsa.
Sehubungan itu juga, kita boleh merujuk semula pengertian karya agung yang mana ia menjadi pembentuk dan cermin budaya dan tamadun yang melahirkan karya dengan identitinya yang tersendiri. Oleh itu, amatlah bermanfaat sekiranya Gurindam Dua Belas ini kekal sepanjang zaman dan dipelajari oleh setiap golongan masyarakat agar ia dapat menjadi pedoman hidup kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan.
Bibliografi
Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah, Seri Lanang Jaya Rohani (2014). Karya Agung
Melayu.  Tanjong Malim : Pusat Pendidikan Luar& Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI

Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005). Stilistik Komsas. Tanjong Malim : Penerbit UPSI.
Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa 
           dan Pustaka.

Za’ba (2002). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

0 comments:

Post a Comment