Analisis Novel Salina





1.0       PENGENALAN
Karya agung merupakan sebuah karya yang diangkat sebagai karya yang memiliki nilai estetika dan pemikiran yang  tertinggi daripada karya sastera yang lain. Hasil karya penulis era 80-an hingga 90-an yang terdiri daripada penulis yang memiliki gaya tersendiri seperti A. Samad Said, Shannon Ahmad, Baha Zain dan sebagainya. Penulis-penulis ini telah menghasilkan pelbagai karya yang boleh diangkat sebagai karya agung moden. Antara penulis yang sentiasa memperjuangkan hasil karya sasteranya ialah Dato’ A. Samad Said. Hasil karya beliau yang mengandungi pelbagai input yang boleh dijadikan sebagai panduan hidup boleh diangkat sebagai sebuah karya agung Melayu moden seperti novel Salina.

2.0       LATAR BELAKANG PENULIS
A. Samad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Belimbing Dalam, Melaka dan merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik. Hidup keluarganya agak pincang apabila ayahnya yang bekerja sebagai inspektor bas di Singapura sering mabuk dan berjudi sehingga menjejaskan kewangan keluarga. Ekoran sifat buruk bapanya, institusi kekeluargaannya sering goyah dan menyebabkan ibunya terpaksa mengambil upah sebagai pembasuh kain dan menjual kuih-muih.
            Ekoran kepincangan yang dihadapi beliau sejak kecil, beliau menceritakan latar hidup keluarganya dalam karyanya. iaitu “Antara Bulan dan Wira”. Selain itu, kesan perasaan kurang senangnya terhadap perangai ayahnya turut terlihat dalam novel beliau apabila watak ayah sering dihilangkan daripada plot cerita (Rosnah Baharudin, 2012). Beliau mula mendapat pendidikan awal di Kota Raja, namun persekolahannya terhenti apabila tentera jepun menyerang dan menakluk Singapura.
            Beliau pernah berkhidmat sebagai kerani sebelum menjadi rakan sekerja Ahmad Boestaman untuk akhbar Parti Rakyat. Beliau banyak melibatkan diri dalam dunia penulisan apabila menjadi penolong pengarang majalah Remaja, pemberita, pengarang Utusan Zaman dan Mestika dan akhirnya menjadi pengarang Berita Harian. Setelah bersara, beliau mula bergiat aktif sebagai penceramah, ahli forum, panel diskusi, pendeklamasi dan pembimbing bengkel penulisan.

Antara karya novel yang dihasilkan oleh A. Samad Said ialah Salina (1961), Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikir (1966), Sungai Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan Pulau (1978), Adik Datang (1980), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1992) dan Cinta Fansuri (1994) manakala dalam drama, A Samad Said telah menulis skrip antaranya Di Mana Bulan Selalu Retak (1965), Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja (1966), Wira Bukit (1986), Lantai T.Pinkie (1996) dan Lazri Meon Daerah Zeni (1992). Selain dalam penulisan novel dan drama, terdapat beberapa jenis genre karya yang dihasilkan oleh A Samd Said antaranya cerpen, puisi, esei kritikan dan autobiografi. Dalam bidang penulisan, A. Samad Said juga menggunakan nama pena seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir.

3.0       SINOPSIS NOVEL SALINA
Novel ini berlatarbelakangkan sebuah kampung yang diberi nama Kampung Kambing. Kampung ini diberi nama Kampung Kambing kerana penduduk yang tinggal di kampung ini tinggal di kandang kampung yang disewakan oleh seorang lelaki India. Antara watak yang terdapat dalam novel Salina ini ialah Siti Salina dan kekasihnya, Abdul Fakar, Hilmy dan ibunya Katijah, Zarina seorang janda yang tinggal bersama anak tirinya, iaitu Nahidah, Mansur dan  Sunorto yang dijadikan anak angkat oleh arwah bapa Nahidah, Haji Karman, Razman dan Kurupaya. Penceritaan novel Salina ini dapat digambarkan dengan watak Siti Salina seorang pelacur yang menyara dan  memelihara Abdul Fakar yang malas bekerja yang sering meminta duit daripada Siti Salina. 
            Abdul Fakar seorang yang kaki mabuk, kaki perempuan dan suka memukul dan meminta duit daripada Siti Salina. Walaupun Siti Salina sering dipukul oleh Abdul Fakar, dia tetap menyayangi Abdul Fakar kerana wajah Abdul Fakar seiras dengan wajah arwah kekasihnya, Muhamad Yusuf yang mati akibat perang dunia kedua. Pada asalnya Siti Salina seorang anak yang kaya, namun akibat perang dunia kedua yang mengakibatkan kematian ahli keluarganya dan kehilangan harta bendanya, dia terpaksa menyara dirinya dengan menjadi pelacur. Selain itu, novel Salina ini juga dapat dilihat konflik yang berlaku pada watak Nahidah yang dipaksa oleh ibu tirinya untuk menjadi pelayan demi memenuhi kemahuan ibu tirinya yang ingin hidup mewah malah Nahidah juga sering diusik oleh Abdul Fakar tanpa pengetahuan ibu tirinya dan Siti Salina. 
            Atas hasutan Abdul Fakar, Zarina telah menghalau Sunarto dan Mansur yang kerap disindir oleh ibu tirinya telah meninggalkan rumah untuk memasuki tentera. Hal ini menyebabkan Abdul Fakar semakin berani untuk mengusik Nahidah sehingga dia berjaya memperkosa Nahidah pada suatu malam sewaktu Nahidah pulang membasuh baju. Setelah diperkosa oleh Abdul Fakar dan Cik Salim, Nahidah telah lari meninggalkan Singapura dan kemudiannya berkahwin dengan seorang buruh dan menetap di Pulau Pinang. Hilmy berasa sedih akan pemergian Nahidah manakala Siti Salina setelah dinasihati oleh Katijah turut meninggalkan Abdul Fakar dan berhijrah ke Kelantan. Abdul Fakar kemudiannya kembali belayar setelah gagal mencari Siti Salina dan menyesal akan perbuatannya terhadap Siti Salina.

4.0       FALSAFAH DAN PEMIKIRAN
Falsafah dan pemikiran merangkumi kesenian berfikir oleh pengarang karya sastera secara mendalam, waras, dan bernas. Dengan erti kata lain, falsafah dan pemikiran ini meliputi kemahiran serta kebijaksanaan pengarang bagi melahirkan gagasan atau ideologi dalam sesuatu perkara sehingga menjadi kekuatan dalam karya yang dihasilkan. Merujuk karya novel Salina yang dikaji, falsafah dan pemikiran yang menjadi tunjang utama dalam penceritaan novel ini adalah seperti berikut:

            4.1       Falsafah dan Pemikiran Sosial
Falsafah in melihat kesenian pengarang berfikir tentang perihal kehidupan realiti manusia. Dengan erti kata lain, berdasarkan falsafah ini, pengarang telah menjadikan fenomena serta kejadian realiti yang benar-benar berlaku dalam kalangan masyarakat sebagai tema dan tunggak penceritaan. Selain itu, falsafah dan pemikiran ini dilihat sebagai subjek yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Hal ini demikian kerana, dalam sesebuah penceritaan, subjek atau perkara pokok haruslah kuat dan kukuh selain dimantapkan lagi dengan imaginasi dan kreativiti pengarang untuk menjelmakan persoalan dan tema karya tersebut. 
         Oleh itu, merujuk novel Salina, A. Samad Said telah menggunakan falsafah sosial sebagai subjek utama dalam penceritaan novel ini. Hal ini demikian kerana, beliau telah mengambil realiti kehidupan masyarakat pada zaman tersebut sebagai batu loncatan bagi membina tema dan persoalan novel ini. menurut Shahnon Ahmad  (1994: 82), terdapat banyak watak dan perkaitan antara merekalah yang melahirkan peristiwa dan episod yang pelbagai yang mengembangkan pula persoalan dengan persoalan dan watak dengan watak.
        Selain itu, falsafah sosial dalam novel ini telah ditonjolkan dengan penceritaan pengarang tentang kehidupan masyarakat yang menetap di Kampung kambing selepas perang dunia kedua. Dalam novel ini, bentuk yang diketengahkan ialah bentuk yang bersifat realisme, iaitu cerminan budaya masyarakat pada ketika itu selain menekankan mengenai persoalan masyarakat. Hal ini demikian kerana, A. Samad Said telah menonjolkan realiti kehidupan sebenar golongan masyarakat yang menjadi mangsa perang dunia kedua sehingga membawa kesengsaraan dan kemiskinan kepada mereka dan ada segelintir golongan masyarakat yang terlibat dengan kehidupan yang tidak sihat.

4.2       Novel Bersifat Realisme dan Mimetik
       Selain itu, dalam novel ini, sifat mimetik sastera telah digunakan oleh pengarang dalam menterjemahkan pemikiran beliau. Sifat ini meliputi tiruan atau Siti Salina semula daripada dunia sebenar yang pernah dilalui oleh penulis semasa hayatnya. Penulis akan memasukkan pengalaman hidupnya sebagai latar tempat, latar masyarakat mahupun latar masa bagi membawa pembaca menghayati dan mengalami pengalaman yang pernah dialami oleh penulis. Sebagai contoh, A. Samad Said memasukkan latar kehidupan masyarakat yang pernah dialami olehnya sendiri dalam novel Salina seperti berikut:

“rumah-rumah kandang kambing itu semuanya tidak sempurna. Dindingnya terbuat dari papan-papan peti susu yang buruk dan berbulu-bulu, kulit-kulit kayu balak yang tebal dan bercendawan, zink-zink tong minyak berkarat yang sudah dileperkan (tetapi masih kemik di sana sini) dan kadbod-kadbod yang sudah berbulu dan berbelang-belang oleh resapan air hujan,”
(Salina, 1961:3)

Berdasarkan contoh di atas, dapat dilihat subjek kehidupan realiti golongan masyarakat pada zaman tersebut yang hidup dalam kemiskinan. Hal ini rentetan daripada kesan perang dunia kedua yang meletus sehingga memusnahkan kediaman asa mereka. Akhirnya mereka terpaksa mendiami kawasan setinggan yang tidak sempurna keadaannya. Pemikiran sosial ini telah menarik perhatian A. Samad Said untuk mencipta karya ulung ini.

5.0       ISI DAN MESEJ
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), mesej bermaksud pesanan (berita, kata-kata singkat) yang hendak disampaikan kepada seseorang atau sesuatu (gagasan, pengajaran) yang hendak disampaikan dalam sesuatu karya. Terdapat beberapa isi dan mesej yang terdapat dalam hikayat ini, iaitu :

            5.1       Keperitan dan Pengalaman Hidup Masyarakat yang Musnah
Perkara ini boleh dilihat pada kehidupan Katijah, iaitu seorang janda dan anaknya, Hilmy yang masih bersekolah tetapi menjadi mangsa Perang Dunia Kedua. Kesan perang tersebut telah merampas keluarga mereka, rumah dan harta benda mereka. Oleh sebab itu, mereka hidup berpindah randah bermula daripada menumpang di bilik kepunyaan seorang saudagar India, di rumah kawan dan akhirnya berpindah di Kampung Kambing. Rumah di Kampung Kambing merupakan sebuah rumah yang dibuat sewa oleh Kurupaya yang pada asalnya rumah tersebut ialah sebuah kandang kambing. Keadaan rumah tersebut sangat daif dengan dindingnya yang tidak kuat, atapnya bocor dan hanya ditutupi oleh daun labu.
       Selain itu, keperitan hidup yang dialami masyarakat akibat peperangan dapat dilihat dalam kehidupan Siti Salina. Pada hakikatnya, Siti Salina berasal dari keluarga yang kaya raya dan ternama malah ayahnya merupakan saudagar intan berlian di Singapura. Akibat daripada Perang Dunia Kedua, Siti Salina telah kehilangan keluarganya dan harta benda serta kekasihnya, Muhammad Yusuf. Berdasarkan novel ini, Siti Salina digambarkan sebagai seorang yang hidup senang sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua, misalnya :

Siti Salina terdiam mendengarkan itu, Dia merasakan sesuatu yang memilukan hatinya  sebab dia sendiri tidak mempunyai ayah malah tidak mempunyai seorang pun lagi keluarga yang sedarah dengannya di dalam dunia ini; semuanya menjadi mangsa Perang Dunia Kedua, sewaktu rumahnya yang besar dan cantik itu dihancurkan oleh bom yang kesasaran jatuhnya.
(Salina, 1961:10)

            5.2       Sifat Kehalobaan dalam Kehidupan
Sifat kehalobaan dalam kehidupan dapat dilihat pada watak Kurupaya yang sanggup menyewakan kandang kambingnya kepada Katijah. Kandang kambing ini kepunyaan buruh-buruh India yang bekerja di Public Works Department, Singapore Municipal Council yang telah dibenarkan oleh pihak berwajib yang berlesen untuk menempatkan kambing-kambing peliharaan mereka. Namun bagi Kurupaya, dia telah menyewakan kandang kambing itu kepada Katijah dengan kadar sewaan dua puluh ringgit sebulan dan didahului dengan duit kopi atau wang pendahuluan sebanyak lima puluh ringgit tetapi keadaan kandang kambing tersebut sangat daif dengan atapnya yang bocor dan dindingnya yang tidak kukuh seperti berikut:
 “Tak dapat tidurlah. Asyik kena betulkan atap saja. Sini dibetulkan sana bocor, sana dibetulkan sini pula bocor. Ada daun labu di atasnya pun tak guna. Bocor juga. Kalaulah begini saja tiap-tiap malam, pendeknya tak dapat tidur langsunglah,” kata Hilmy.
(Salina, 1961:42)
       Selain itu, kehalobaan ini dapat dilihat pada watak Zarina yang sering memarahi Sunarto apabila memberi wang hasil pekerjaan Sunarto sebagai pengayuh beca yang sedikit. Walaupun Sunarto dimarahi, dihina, dihalau dan dituduh memberi wang kepada perempuan lain, Sunarto masih mampu menahan dirinya untuk terus tinggal di rumah Zarina kerana dia masih mahu membalas jasa yang diberikan oleh bapa angkatnya, iaitu Abdul Mutalib dengan menjaga Nahidah dan Mansur dengan baik setelah bapa angkatnya meninggal dunia. Kehalobaan Zarina juga telah memaksa anak tirinya, iaitu Nahidah supaya menjadi pelayan. Hal ini kerana dirinya menginginkan tempat tinggal yang lebih baik dan perhiasan diri seperti yang dimiliki oleh kawan-kawannya.
            5.3       Kepincangan dalam Masyarakat
Masalah kepincangan dalam masyarakat ini dapat dilihat dalam kehidupan Siti Salina, Abdul Fakar dan Zarina. Dalam kehidupan Siti Salina dapat dilihat dirinya telah terlibat dalam pelacuran setelah menjadi mangsa sojar ketika waktu peperangan dan seterusnya demi menyara kehidupannya yang susah setelah Perang Dunia Kedua. Siti Salina juga terpaksa menyara Abdul Fakar yang bukan suaminya tetapi hidup seperti orang yang telah berkahwin. Hal ini kerana rupa paras Abdul Fakar seiras dengan wajah kekasihnya yang telah menjadi mangsa peperangan. Abdul Fakar dilihat seorang yang mengambil kesempatan atas kesenangan yang diberikan oleh Siti Salina sehingga dia juga sanggup memukul Siti Salina sekiranya kehendak dirinya tidak dipenuhi.
       Dalam masa yang sama, Abdul Fakar juga bertindak jahat terhadap Nahidah dan dia sering menghasut emak Nahidah, iaitu Zarina supaya menghalau Sunarto keluar dari rumahnya agar memudahkan dirinya untuk mengganggu Nahidah. Kepincangan dalam masyarakat juga dapat dilihat pada kehidupan Zarina yang bersungguh-sungguh menggoda Abdul Fakar malah sanggup melakukan apa-apa sahaja demi Abdul Fakar. Zarina juga telah mengada-adakan cerita mengenai Siti Salina bagi menimbulkan perasaan benci dalam diri Abdul Fakar. Kepincangan dalam masyarakat yang seterusnya dapat dilihat terdapat beberapa anak muda akan menghendap perbuatan yang dilakukan oleh para kekasih dan ia tidak ditegah  malah digalakkan lagi. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan berikut :
“Mau pergi menghendap, ya?” Tanya Abdul Fakar yang Nampak juga kedatangan ‘para kekasih’ itu; di dalam hatinya melonjak-lonjak juga keharuan, walaupun tidak seberapa. Budak-budak muda itu ketawa tidak segan-segan.
“ Tau sendiri”, kata seorang budak yang berambut yang sudah seperti tiga bulan tidak diguntingnya. Kalau pulang cerita tau? Kata Abdul Fakar dengan tidak segan-segan juga seketika terlupa dia soal Siti Salina, juga Zarina yang sedang memperhatikannya di sebelah.
(Salina, 1961:78)

            5.4       Mementingkan Ilmu Pengetahuan
Dalam novel Salina ini, dapat dilihat ilmu pengetahuan masih menjadi keutamaan dalam masyarakatnya. Walaupun Katijah mengalami kemusnahan hidup setelah Perang Dunia Kedua, dia masih mampu menyekolahkan Hilmy malah Hilmy dapat dilihat sebagai pelajar yang pandai kerana mampu bersekolah sekolah Melayu Kota Raja dan berpindah ke sekolah Inggeris Monk’s Hill dan Victoria School secara percuma. Hal ini dapat dilihat pada petikan berikut.

Memang dari sekolah Melayu dulunya; sesudah sekolah Melayu barulah dihantar ke sekolah Inggeris. Kalau hendak dihantar ke sekolah Inggeris terus saja, siapa yang mampu? Ayahnya bukan ada. Untunglah dapat sekolah free, jawab Katijah menerangkan.
(Salina, 1961:10)
      Selain itu, sebelum mengalami kemusnahan Perang Dunia Kedua Siti Salina juga turut mendapat pendidikan malah turut bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Hal ini dikongsi oleh Siti Salina kepada Hilmy sewaktu mereka berbual-bual. Siti Salina juga turut menyumbang wang bagi membantu Hilmy dalam meneruskan pelajaran dan perkara ini dirahsiakan daripada Abdul Fakar bagi mengelakkan dia dimarahi.

6.0       PANDANGAN HIDUP
Menurut Aim Abdulkarim, (2006:93) menyatakan bahawa pegangan hidup merupakan sebuah konsep seseorang atau sekelompok masyarakat yang menanggapi dan menerangkan segala masalah yang terjadi. Pegangan hidup juga merupakan komponen budaya hidup yang cenderung untuk mengalami perubahan seiring dengan perubahan hidup konsep masyarakat. Oleh itu, pegangan hidup yang diterangkan oleh Abdullah dalam hikayat beliau menunjukkan pegangan hidup yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika zaman secara langsung mahupun tidak langsung. Antara pegangan hidup tersebut seperti berikut :

            6.1       Amalan Pantang Larang
Masyarakat pada zaman novel Salina masih mempercayai dan mengamalkan pantang larang dalam hidup mereka. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pantang larang merupakan sesuatu perkara yang dilarang untuk melakukannya berikutan adat dan kepercayaan sesebuah masyarakat. Pantang larang ini sudah diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kabanyakkan pantang larang tersebut diamalkan bagi memelihara tingkah laku anggota masyarakatnya. Berdasarkan novel Salina terdapat pantang larang yang diamaalkan oleh masyarakat Melayu yang ditonjolkan oleh penulis seperti berikut:
“Tak baik menyabung kaki tahu?” kata ibunya menegurnya sambil terbatuk-batuk kecil. Hilmi mendongak, tersenyum alalu bertanya, “Mak percaya?”
“Pasal apa pula tak percaya? Orang-orang dulu cakap,” jawab ibunya dengan tidak memandang Hilmy. Hilmy tersenyum lagi, dan berkata, “Jadi kalau Hilmy menyabung kaki, emak Hilmy akan matilah, ya?”
“Mmmmmmm,mmm,” kata Katijah sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kalau Hilmy tidak menyabung kaki maka tak matilah?” tanya Hilmy; dari air mukanya yang nyata benar dinantinya jawapan ibunya.
Katijah diam sahaja. Memang selalu anaknya bertanya begitu, dan bila pertanyaan serupa itu dikemukakan kepadanya, dia sentiasa menjawab sebaik-baiknya.”
(Salina, 1961:190)
       Berdasarkan contoh petikan di atas, masayarakat Melayu pada zaman itu masih mengamalkan pantang larang menyabung kaki. Hakikatnya, perbuataan sebegitu dianggap kurang sopan khususnya kepada anak gadis. Hal ini demikian kerana, pada zaman itu, anak gadis memakai kain batik atau sarung yang akan menyebabkan kainnya terselak apabila anak gadis menyabung kaki. Oleh sebab itu, perbuataan ini dianggap sebagai larangan mahupun kepada lelaki kerana lelaki tersebut akan berkeluarga nanti. Oleh itu, pantang larang ini diamalkan sejak turun-temurun bagi memelihara tingkah laku manusia supaya sentiasa menjaga adab sopan walaupun di rumah.
6.2       Amalan Kepercayaan Karut
Selain itu, kepercayaan karut turut diamalkan oleh masayarakat Melayu dalam novel Salina. Kepercayaan karut ini juga turut diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kepercayaan ini diamalkan berdasarkan latar masyarakat dan tempat dalam sesebuah karya. Masyarakat Melayu semasa zaman Siti Salina merupakan antara masyarakat yang terdiri daripada golongan miskin dan tinggal di kampung yang masih jauh daripada perkembangan pembangunan.
        Oleh sebab itu, pemikiran masyarakat masih di takuk lama dan mempercayai benda-benda karut yang akan menentukan baik buruk sesuatu peristiwa itu berlaku. Sebagai contoh, penulis memasukkan kepercayaan masyarakat terhadap bunyi salakan anjing yang akan membawa berita baik merupakan contoh kepercayaan karut yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika itu:
“Suara anjing menyalak kedengaran; suara lima ekor anjing. Selalunya begitulah di Kampung Kambing kalau ada orang pulang malam-malam. Salakan anjing menjadi isyarat yang baik – memberitahu kedatangan seseorang ke Kampung Kambing walaupun di luar kampung itu ataupun di dalamnya, sama ada orang datang itu orang kampung Kambing, orang yang tinggal di berek P.W.D ataupun orang yang tinggal di tempat lain tetapi datang ke situ.”
(Salina, 1961:198)
           
            6.3       Pandangan Serong Terhadap Pekerjaan Pelayan
Pandangan serong merangkumi persepsi negatif atau tidak elok kepada sesuatu perkara. Pandangan serong ini lazimnya berlaku rentetan daripada kejadian atau peristiwa sumbang yang dilakukan oleh sesetengah pihak atau tingkah laku yang tidak elok sehingga pandangan negatif diberikan. Merujuk novel Salina ang dikaji, pandangan hidup masyarakat yang dapat dikenal pasti ialah pandangan serong sesetengah masyarakat terhadap pekerjaan sebagai pelayan.
       Hal ini demikian kerana, pengarang telah menyelitkan pekerjaan sebagai pelayan sebagai pekerjaan dominan kaum wanita di Kampung Kambing. Namun begitu, sesetengah masyarakat di kawasan tersebut memandang rendah terhadap pekerjaan tersebut dengan beranggapan bahawa pekerjaan tersebut keji dan jijik. Berikut merupakan contoh petikan novel yang menggambarkan pandangan hidup sedemikian:
“kau tau,“ kata Cik Salim bila dia fikir sendiri sudah mula merasa puas, “jangan kaufikir jadi pelayan kau endah melayan dari jauh saja hah, hah? Pelayan bukan gitu, tau? Pelayan datang melayan dekat-dekat. Pelayan duduk dekat orang yang dilayannya. Pelayan duduk di atas pangkuan orang. Pelayan ikut saja cakap orang yang dilayannya, tau?
(Salina, 1961:300)
            Berdasarkan keratan petikan novel tersebut dapat dilihat bahawa pandangan hidup sesetengah masyarakat pada ketika itu yang memandang keji terhadap pekerjaan sebagai pelayan. Hal ini demikian kerana, mereka meletakkan tanggapan bahawa pekerjaan pelayan hanya bekerja untuk melayan orang lain atau pengunjung dari segi zahir dan batin. Kesannya, pelayan dianggap seperti murahan dan tidak bermaruah kerana terlibat dengan pekerjaan sedemikian.

            6.4       Pentingnya Menjaga Maruah Diri
Dalam novel Salina, abang Nahidah, iaitu Mansur sering menasihati Nahidah supaya sentiasa menjaga maruah dan nama baiknya kerana bagi Mansur tiada yang lebih berharga di dalam dunia ini melainkan nama baik dan maruah diri. Contoh peristiwa boleh dilihat di bawah:
Abangnya suka, bercakap kepadanya tentang beberapa hal, bercakap sekali tentang rancangannya selepas habis sainnya dengan sojar itu, dan meminta sekali lagi supaya adiknya itu menjaga dirinya baik-baik, mengingatkan bahawa tidak ada yang lebih berharga di dalam dunia ini selain meninggalkan nama yang baik.
                                                                                                            (Salina, 1961: 435)
                        Berdasarkan contoh petikan di atas, Mansur sangat menyayangi adiknya, Nahidah dan sentiasa menasihati adiknya supaya meninggalkan pekerjaan sebagai pelayan. Walaupun Mansur mengetahui bahawa adiknya terpaksa bekerja sebagai pelayan kerana ibu tirinya, Mansur sentiasa berpesan kepada Nahidah supaya menjaga maruah dirinya dan tidak terlanjur melayani lelaki-lelaki di tempat kerjanya walaupun dibayar dengan harga yang tinggi.
7.0       NILAI BUDAYA
Budaya berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘budayyah’ yang merupakan kata jamak bagi perkataan ’buddhi’ yang membawa maksud budi pekerti atau akal (Abdul Rahman Hanapiah et. al, 2014:125). Oleh itu, nilai budaya ini akan membincangkan hal-hal berkaitan dengan budi dan akal manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai ’culture’ yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu ‘colore’ yang bermaksud menanam atau mengerjakan.

7.1       Nilai Mengenang Budi
Dalam novel Salina ini dapat dilihat nilai budaya, iaitu nilai mengenang budi. Nilai ini ditonjolkan pada watak Sunarto yang mengenang budi ayah angkatnya, iaitu Mutalib yang menyelamatkannya yang menghidap penyakit demam malaria sewaktu dibawa oleh tentera Jepun ke Siam. Walaupun ayah angkatnya telah meninggal dunia dan dirinya sering diherdik dan dihina oleh Zarina namun dia tetap tinggal di rumah Zarina kerana ingin membalas jasa ayah angkatnya dengan menjaga Nahidah dan Mansur dengan baik. Hal ini hasil daripada didikan ayah angkatnya yang sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa dan dia masih mengingati kata-kata ayahnya, iaitu:
Sewaktu di kampungnya dahulu ayahnya sendiri sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa. Walaupun di masa itu tidak diketahuinya sungguh-sungguh apa sebenarnya budi bahasa itu dalam erti yang mendalam, tetapi kata-katanya “budi baik jangan kau lupakan sehingga bila-bila” itu tetap semarak itulah yang menghalangnya untuk meninggalkan keluarga Zarina-keluarganya. Ya, budi baik orang tak boleh kulupa sampai bila-bila, bisik Sunarto di dalam hatinya.
(Salina, 1961:62) 
7.2       Bertolak Ansur
Bertolak ansur merupakan sikap yang sangat penting terutama dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Sikap bertolak ansur yang terdapat dalam novel Salina boleh dilihat pada sikap Kurupaya yang dinyatakan oleh Nahidah sebagai seorang yang baik dan tidak menyombong serta seorang yang sangat bertolak ansur. Contoh boleh dilihat di bawah:
“Kurupaya boleh tunggu sampai saya habis cuci?” tanya Nadihah mengharapkan Kurupaya akan mengasihaninya. Dia tahu Kurupaya baik. Walaupun Kurupaya membuat wang kerana menyewakan kandang-kandang kambingnya itu tetapi dia tidak pula menyombong atau kejam seperti tuan-tuan punya rumah di kampung lain. Kurupaya Samy lebih dapat menyelami hati dan kesusahan penyewa-penyewa bilik rumahnya dan terkadang-kadang kalau penyewa-penyewanya lambat membayar sewa bilik mereka- sehingga ke satu bulan – dia tidak akan memintanya pun. (Biar pun dia sebenarnya- lebih suka kalau wang sewa rumah itu dapat dikemukakan pada hari yang telah ditetapkan, lima belas hari bulan).
 (Salina, 1961:433)
        Petikan di atas menunjukkan budaya membaca yang diamalkan oleh penduduk Kampung Kambing. Mereka gemar membaca walaupun keadaan dalam kesempitan hidup. Watak Hilmy ditunjukkan sangat rajin membaca buku dan ingin berjaya dalam kehidupannya.

7.3       Nilai Mengambil Berat Demi Kebaikan Orang Lain
Nilai ini dapat dilihat berdasarkan watak Katijah. Katijah sering menasihati Siti Salina agar meninggalkan Abdul Fakar yang selama ini menganiaya dan menyeksa Siti Salina. Katijah juga sering bertanyakan sebab Siti Salina terlalu menyayangi Abdul Fakar sedangkan Abdul Fakar sering mempergunakan Siti Salina, tetapi Siti Salina tidak pernah merungut dan membiarkan sahaja dia diperlakukan begitu. Contohnya dapat dilihat pada petikan yang berikut:
“Saya tak adil selama ini, kak,” katanya kepada Katijah. Katijah kehairanan juga mendengar jawapan itu.
Kenapa?”
“Sebab selama ini saya tak ambil berat segala apa kakak nasihatkan. Bukan saya tak tau apa yang kak masihatkan itu benar, tapi entahlah, saya tak mau menerima nasihat itu sehinggalah sekarang ini. Sekarang ini barulah saya sedar apa yang kakak nasihatkan itu ialah untuk kebaikan saya. Dan saya akan ikut sekarang,” kata Siti Salina.
(Salina, 1961: 527)

7.4       Nilai Ketabahan dalam Menghadapi Dugaan Hidup
Nilai ketabahan ini dapat dilihat menerusi watak Siti Salina yang cekal dalam menghadapi dugaan hidup setelah ahli keluarganya meninggal dunia akibat terkena bom semasa Perang Dunia Kedua. Berikutan dengan itu, Siti Salina mula terjebak dengan pelacuran kerana Siti Salina mengalami kesempitan hidup. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar turut mengambil kesempatan terhadapnya dan Siti Salina dipukul dan dimarahinya. Contohnya ialah:
“Kenapa kau sanggup diseksa orang sampai begitu?” Katijah bersuara sambil terbatuk-batuk dua tiga kali.
(Salina, 1961:524)

8.0       TEKNIK KEPENGARANGAN
Secara umumnya, teknik kepengarangan meliputi satu kaedah atau cara seseorang penulis atau pengarang menggarap jalan cerita sesebuah karya yang dihasilkan. Hal ini kerana, teknik yang digunakan untuk menggarap sesebuah cerita dalam sesebuah karya dilihat penting kerana melalui teknik tersebut penulis dapat menyampaikan sesuatu pemikiran secara berkesan dan tertib. Selain itu, teknik kepengarangan ini merupakan sinonim kepada teknik penceritaan yang lazimnya berkait rapat dengan penggunaan dialog, gaya bahasa, monolog, monolog dalaman, imbas kembali, imbas muka dan sebagainya. Semua teknik ini sering kali digunakan oleh penulis semasa menghasilkan sesebuah karya. Berikut merupakan teknik yang digunakan oleh Abdullah dalam menulis hikayatnya.

            8.1       Teknik Dialog
Terdapat banyak dialog yang digunakan oleh penulis untuk mengindahkan lagi karyanya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dialog ialah  percakapan, perbicaraan (dalam lakonan), tulisan dalam bentuk percakapan, pertukaran pendapat dan soal jawab mengenai sesuatu. Penggunaan dialog di dalam novel Salina boleh dilihat melalui peristiwa ini:

 “Mansur ada hantar surat?”
“ada.”
“apa cakap?”
“dia mahu masuk hutan tak lama lagi.”
“ayoyo, macam angkau punya bapak juga?”
Nahidah diam, tetapi menganggukkan kepalanya. Ada sesuatu yang tidak mahu dia mengingatinya tentang itu. Lebih-lebih lagi tentang hutan itu.
“Dia tadak datang sini?”
“tadak. Dia ada datang saya punya kerja punya tempat.”
“hmmmmmmmm hmmmmmmm,” kata Kurupaya tanpa memandang
Nahidah.
(Salina, 1961:434)
            8.2       Teknik Kias Ibarat
Seni kepengajaran yang digunakan oleh A. Samad Said dalam menggambarkan jalan cerita ini dapat dilihat melalui penggunaan teknik kias ibarat. Penggunaan kias ibarat yang digunakan dalam novel Salina ini memperlihatkan pengarang menggambarkan Siti Salina sebagai orang yang sanggup berkorban apa-apa sahaja walaupun pengorbanannya menguntungkan orang lain bukannya dirinya. Penggunaan frasa sumbu pelita menunjukkan pengarang menggunakan kias ibarat terhadap watak Siti Salina yang sanggup berkorban walaupun dirinya terseksa. Sebagai contoh:

Dan kerana itu maka biarpun tidak diketahuinya benar mengapa Siti Salina sanggup menjadi sumbu pelita membakar dirinya untuk keuntungan orang lain, dia masih meyakini tentulah ada sesuatu sebabnya yang benar, satu sebab yang selama ini dirahsiakannya.
(Salina, 1961: 526-527)
      Selain itu, seni kepengarangan dari aspek kias ibarat dalam novel Salina ini yang menceritakan tentang Salina yang masih ‘menjaga’ Abdul Fakar sedangkan Abdul Fakar hanya mempergunakan Salina untuk kepentingan dirinya sahaja. Frasa yang digunakan sebagai kias ibarat kepada maksud menjaga ialah ‘memelihara’. Contonya dapat dilihat daripada petikan berikut:
Dalam tidak tentu arah itu Siti Salina semakin yakin bahawa dia benar-benar tidak “memelihara” orang yang sebenarnya yang tahu membalas budi. Hatinya yang sudah luka itu menjadi semakin luka lagi dan dia menangis sekuat-kuat hatinya.
(Salina, 1961:520)
            8.3       Bentuk Karya : Realisme
Penceritaan yang berlandaskan pengalaman persekitaran yang dialami oleh pengarang dilihat sedikit berbeza dengan karya-karya yang telah terhasil. Pengalaman itu boleh diambil daripada persekitaran kehidupan diri pada zaman kanak-kanak, kembali ke warisan leluhur yang banyak mencipta sejarah atau peristiwa yang signifikan dan menarik. Merujuk karya Salina, A. Samad Said merupakan orang yang bertanggungjawab mentaksirkan pengalaman yang dialami ke dalam bentuk karya. 
           Dengan erti kata lain, pengalaman yang dialami oleh A. Samad Said telah menarik perhatian beliau untuk menghasilkan sebuah karya seumpama itu. Namun begitu, berlaku tokok tambah dalam penceritaan tersebut bagi menampakkan tarikan dan keistimewaan dalam jalan cerita tersebut. Selain itu, penghasilan karya ini rentetan daripada kesedaran oleh A. Samad Said untuk memaparkan suasana dan situasi yang dialami oleh segolongan masyarakat selepas perang dunia kedua.  Menurut Siti Aisah Murad (2007: 205), pengalaman beliau yang luas tentang permasalahan yang berlaku dalam masyarakat diadun dengan gaya imaginasi dan dilahirkan kembali ke dalam novel. 
       Walaupun timbul unsur imaginatif dalam pengolahan beliau, soal kebenaran dalam penceritaan tidak pernah dipinggirkan. Merujuk novel Salina, A. Samad Said telah mengambil suasana persekitaran dan kehidupan golongan masyarakat yang pernah dialami pada suatu ketika dahulu sebagai tema dan pokok penceritaan. Hal ini demikian kerana, memfokuskan kepada adaptasi latar cerita, beliau telah mengambil latar masyarakat yang pernah dilalui oleh beliau, iaitu latar masyarakat kawasan setinggan di Singapura yang pernah didiami oleh beliau.
                         
      Latar masyarakat yang digambarkan ialah penduduk kawasan setinggan yang hidup dalam kesusahan dan kemiskinan ekoran daripada perang dunia kedua yang meletus. Selain itu, ada segelintir golongan masyarakat yang terjerumus ke kancah maksiat apabila bekerja sebagai pelayan, seperti watak Zarina, Nahidah, dan Siti Salina di dalam novel tersebut. Oleh sebab itu, pengalaman persekitaran yang pernah dilalui oleh A. Samad Said telah mendorong beliau untuk menghasilkan novel bermutu ini. berikut merupakan contoh kehidupan masyarakat yang terpapar dalam novel Salina:
“Dua orang makhluk yang baharu pindah ke kampung itu ialah Katijah, seorang janda, dan anaknya Hilmy, anaknya yang masih bersekolah. Mereka berdua menjadi mangsa Perang Dunia Kedua: perang merampas keluarga mereka, termasuk rumah dan harta benda mereka sendiri. Selepas perang mereka tinggal di sebuah bilik kepunyaan seorang saudagar India”.
(Salina, 1961: 7)
      Berdasarkan contoh di atas, A. Samad Said telah memaparkan latar masyarakat yang menjadi paparan dalam penceritaan novel ini. Latar masyarakat yang digambarkan seolah-olah cerminan daripada pengalaman beliau yang terdahulu sehingga beliau mampu memerihalkan sesuatu perkara tersebut dengan terperinci. Oleh sebab itu, novel ini dikatakan berbentuk realisme yang kebanyakan penceritaan lebih cenderung kepada penceritaan realiti kehidupan masyarakat.

8.4       Teknik Imbas Kembali
Teknik ini merupakan kaedah imbasan atau gambaran semula tentang sesuatu peristiwa yang dialami atau berlaku di sekeliling penulis. Sesuatu peristiwa tersebut meninggalkan kesan yang mendalam sehingga penulis masih dapat menggarapkan kembali cerita tersebut secara terperinci. Contoh petikan yang menggunakan teknik imbas kembali dalam novel Salina adalah seperti berikut:
“Hilmy memandang budak-budak itu, lalu teringat segera akan ketika dia sendiri seperti itu untuk mendapatkan bubur pada beberapa tahun yang lalu. Dia memperhatikan Haji Karman, dan Haji Karman memerhatikannya pula sambil berkata sekali:
     “Ha, tengoklah budak-budak, gitulah dia orang selalu. Riang saja. Berebut-rebut gitu pun dia orang tak kira, padahal bubur itu bukannya sikit.
 (Salina, 1961:317)
            Berdasarkan contoh di atas, Hilmy mengimbas kembali sikapnya yang nakal sewaktu kecil dahulu apabila suka berebut-rebut untuk mengambil bubur dengan rakan-rakannya. Hilmy berasa terhibur apabila melihat sikap nakal tersebut ditonjolkan oleh watak kanak-kanak pada zaman itu ketika dia sedang berbual-bual dengan Haji Karman.

9.0       SENI BAHASA
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007: 78), gaya bahasa ialah cara atau ragam bahasa yang digunakan dalam penulisan atau lisan atau pun cara pemakaian bahasa dalam sesebuah karya atau susunan kata, frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang dalam karya yang dihasilkan.

            9.1       Simpulan Bahasa
Novel Salina ini juga memperlihatkan pengarang menggunakan simpulan bahasa yang merupakan satu bentuk peribahasa yang paling mudah. Menurut Abdullah Yusof et al. (2009: 148), simpulan bahasa ialah kata-kata yang mempunyai makna yang tersirat. Simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat. Simpulan bahasa yang digunakan dalam novel ini ialah “keras kepala” yang membawa maksud degil dan sukar menerima pandangan orang lain. Contoh petikan yang menggambarkan penggunaan simpulan bahasa “keras kepala” ialah :
“Kau jangan besar kepala sekarang,” kata Abdul Fakar sambil menghembuskan tempat abu rokok yang ada di dekatnya. Tempat abu rokok kaca itu pecah dan puntung-puntung rokok dan abu rokoknya berserakan.
      (Salina, 1961:518)
            9.2       Bahasa Asing
Penggunaan bahasa asing dalam sesebuah karya memperlihatkan kebijaksanaan pengarang untuk menyesuaikan perkataan-perkataan daripada bahasa lain dalam karya yang dihasilkan. Selain itu, penggunaan bahasa asing seperti bahasa Arab atau bahasa Inggeris dapat mencerminkan ketinggian pengetahuan yang dimiliki oleh pengarang.

            i.          Bahasa Arab
Merujuk novel yang dikaji, A. Samad Said telah menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa sampingan yang diselitkan dalam karya beliau. Berikut merupakan contoh keratan novel yang menggunakan bahasa Arab dalam penceritaan:
“… Haji Karman sedih mendengarnya. Dia membacakan surah itu perlahan-lahan. ‘Qulhual’lahuahad, Allahus;samad, Lam Yalid walam Yullad. Walam Yaku’lahu Kufu’an Ahad.’’… 
 (Salina, 1961:269)
“ … Aku tahu Tuhan. Aku tahu Tuhan tak suka jahat. Aku percaya kepada Tuhan, aku percaya juga kepada malaikatnya, kitabnya, rasulnya, dan hari kiamat,” Dan kemudian dalam mabuk-mabuknya itu dia terus menyebut , “Amantubil’lahi, wamala ‘ikatihi, wa’kutubihi, wa-rusuli walyaumil akhiri,” 
(Salina, 1961:271)
            ii.          Bahasa Inggeris
A. Samad Said juga telah menggunakan bahasa Inggeris dalam novel Salina. Seperti yang sedia maklum, Inggeris merupakan salah satu penjajah yang telah menjajah Tanah Melayu. Oleh hal yang demikian, masyarakat ketika itu turut dipengaruhi dengan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris digunakan dalam novel ini supaya dapat memperlihatkan zaman terjadinya peristiwa di dalam novel tersebut iaitu zaman selepas Perang Dunia Kedua. Berikut merupakan contoh keratan novel yang menggunakan bahasa Inggeris dalam penceritaan:
 “Taan, kita pergi midnight, ya?” dia bertanya lagi.
“Ada duit?”
“Kalau ada duit tak payah tanyalah.”
(Salina, 1961: 466) 
Berdasarkan contoh yang diberikan dapat dilihat bahawa pengarang telah menggunakan bahasa Arab dan Inggeris sebagai bahasa tambahan di dalam karya novel Salina. Nilai seni bahasa yang kreatif telah digunakan oleh pengarang untuk mencantikkan jalan cerita yang dihasilkan dengan menggabungkan penggunaan lebih daripada satu bahasa.

9.3       Hiperbola
Hiperbola merupakan sepatah kata yang diganti dengan kata lain yang memberikan pengertian lebih hebat daripada kata. Contoh ini dapat dilihat di bawah:
“Dan dia ketawa terbahak-bahak. Budak-budak muda yang sedang bercerita itu segera ketawa juga-ketawa memanjang-manjang. Seorang daripada mereka yang berambut panjang seperti sudah tiga bulan tidak digunting. 
(Salina, 1961:330)
9.4       Tabu
Novel Salina yang dikarang oleh A. Samad Said turut mengandungi perkataan-perkataan yang dianggap tabu. Konsep tabu atau makna pantangan merupakan sebuah kata yang berasal dari bahasa Polinesia yang telah diserap masuk ke dalam bahasa Inggeris menjadi sebuah istilah, iaitu ‘taboo’ (Jos Daniel Parera, 2004:115). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan bahawa tabu ialah pantang larang yang diharamkan atau ditegah daripada dipercakapkan. Oleh yang demikian, kata-kata yang dianggap tabu tidak boleh diucapkan sewenang-wenang, khususnya dalam situasi formal. Sebagai contoh :
“Apabila dilihatnya anak itu sedang mengusik kambing itu lagi, Katijah memarahkan, “Hei Bulat! Kenapa nakal, hah? Kenapa kau suka benar usik kambing? Kambing usik kotek kau, ya? Baik kau pergi, kalau tidak nanti kambing makan kotek kau!”. Si Bulat lari lagi. dan menjerit-jerit lagi.”
(Salina, 1961:115) 
Berdasarkan contoh di atas, penulis menggunakan bahasa tabu, iaitu ‘kotek’ yang merujuk alat sulit lelaki. Walau bagaimanapun, tabu boleh digunakan dalam pertuturan dengan mengikut konteks dan melibatkan penutur bahasa yang tertentu. Hal ini demikian kerana, perkataan tabu mempunyai makna konotasi atau makna negatif yang boleh melibatkan sensitiviti dan menjatuhkan maruah penutur mahupun pendengar.

            9.5       Disfemisme
Menurut Rahman Shaari (2001: 21), disfemisme ialah kata atau ungkapan kasar yang bertujuan untuk menyinggung perasaan orang lain. Dalam novel Salina terdapat banyak penggunaan gaya bahasa disfemisme. Sebagai contoh:
“Aku kena hasut orang? Kau bangsat! Aku kau kata kena hasut orang?” suara Zarina semakin meninggi, dan Sunarto tidak senang sekali mendengarkan dirinya dipanggil bangsat, walaupun sekali dulu dia pernah bangsat. “Kau fikir aku macam kau ya, senang kena hasut? Hah? Kau bangsat, kau dah hasut Idah supaya lari, dan bila Idah dah lari, kau masih juga endak tunjuk kau benar ya? Bangsat! Berambus bangsat, berambus!” 
(Salina, 1961:492)
9.6       Personifikasi
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir ( 2005: 51), personifikasi berasal daripada bahasa Latin, iaitu percantuman dua perkataan ‘persona’ dan ‘fic’. Perkataan ‘persona’ merujuk kepada orang atau pelaku yang dipakai dalam persembahan drama manakala ‘fic ialah perkataan yang bererti membuat. Gaya bahasa personifikasi ini merupakan gaya bahasa perbandingan, iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri peribadi orang kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, barang yang tidak bernyawa atau sesuatu perkara yang abstrak. Dalam novel Salina, penggunaan gaya bahasa personifikasi dapat dilihat berdasarkan petikan berikut:
Dua tiga kali enjin lori itu merengek-rengek-pada mulanya merengek pendek-pendek kemudian merengek panjang lalu mati-dan akhirnya bergerak juga ia berlalu dari jalan sempit berlekak-lekuk yang memisahkan Kampung kambing dengan petak “A” itu.
         (Salina, 1961:7)
10.0     NILAI ILMU
Nik Hasan Basri Nik Ab. Kadir (2007: 148) mendefinisikan nilai sebagai segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu, bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan. Abdul Rahman Napiah at el.  (2014: 156) memfokuskan nilai dalam bidang sains sosial dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Dalam pada itu, nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai.
Berdasarkan karya moden yang dikaji, iaitu novel Salina, terdapat beberapa ilmu yang telah dikenal pasti dalam kepengarangan A. Samad Said seperti ilmu pertukangan, ilmu ketenteraan, ilmu agama dan ilmu bahasa. Nilai ilmu yang diterapkan dalam sesuatu karya sememangnya dapat memberikan keindahan dalam penceritaan. Dalam pada itu, pembaca dapat memperoleh nilai baik yang boleh diteladani dan nilai buruk yang boleh dijadikan sempadan serta teladan.

            10.1     Ilmu Pertukangan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1724), ilmu pertukangan ialah ilmu yang berkaitan dengan kepandaian seseorang dalam pekerjaan tangan atau perbuatan memperbaiki sesuatu kerosakan. Berdasarkan novel Salina, ilmu pertukangan dapat dilihat dalam diri watak utama itu sendiri iaitu, Siti Salina. Setelah Siti Salina berpindah ke Kampung Kambing setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, Siti Salina telah menyewa rumah di kampung tersebut, tetapi rumah yang didudukinya itu mengalami banyak kebocoran. 
          Tuan rumah, iaitu Kurupaya Samy langsung tidak mengendahkan kerosakan yang terdapat di rumah tersebut kerana dia hanya mahu mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain. Kurupaya Samy telah menyewakan Salina sebuah kandang kambing dengan harga dua puluh ringgit sebulan sedangakan dia tidak memperbaiki kerosakan atap di rumah tersebut. 

          Walau bagaimanapun, kebolehan Siti Salina dalam pertukangan telah membuatkan Siti Salina memperbaiki atapnya yang bocor tanpa mengharapkan tuan rumah tersebut, iaitu Kurupaya Samy. Petikan di bawah membuktikan bahawa Siti Salina mempunyai kemahiran dalam membaiki kebocoran atap dengan meletakkan siling di atap tersebut kerana sebelum ini, Siti Salina hanya meletakkan daun labu di atas atap tersebut:
“Tak dapat tidulah. Asyik kena betulkan atap saja. Sini dibetulkan sana bocor; sana dibetulkan sini pula bocor. Ada daun labu di atasnya pun tak guna. Bocor juga. Kalaulah begini saja tiap-tiap malam, pendeknya tak dapat tidur langsunglah,“ kata Hilmy. Kemudian, diam seketikan; menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Dan segera menyambung, “Rumah kakak tak bocor?’
“Dah tak bocor sekarang. Dah kakak betulkan. Kalau tidak dulu bocor juga macam rumah Hilmy tu, “Siti Salina menjawab. Matanya memperhatikan api di dapurnya. 
(Salina, 1961:42)

            10.2     Ilmu Ketenteraan
Nilai ilmu lain yang terdapat dalam novel Salina ini ialah ilmu ketenteraan. Ilmu ketenteraan bermaksud ilmu yang berkaitan dengan perihal peperangan. A. Samad Said memasukkan nilai ilmu ketenteraan dalam novel Salina secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana, Beliau lebih cenderung menggunakan tema peperangan yang merupakan antara pengalaman beliau sendiri. Hal ini demikian, peperangan banyak memberi kesan kepada masyarakat yang terlibat termasuklah dirinya sendiri. Walau bagaimanapun, ilmu ketenteraan ini hanya diceritakan secara asas sahaja seperti latihan-latihan yang dijalani oleh anggota tentera, seperti yang dialami oleh watak kekasih Salina, iaitu Muhammad Yusup seperti berikut:
“Saya dan kawan-kawan lain akan dibawa ke suatu tempat yang masih belum diketahui lagi di mana. Khabarnya kamu akan belajar menggunakan senjata (tidak lagi belajar cara mengikat bandage dan merawat luka!) Saya dan kawan-kawan lain akan belajar pula cara hendak menggunakan senjata untuk membunuh manusia yang menjadi musuh.”
(Salina, 1961:184-185)
      Dalam pada itu, peperangan yang digambarkan oleh Muhammad Yusuf juga sebagai suatu peristiwa yang kejam dan peperangan juga merampas segala kebahagiaan manusia. Petikan ini dapat dilihat menerusi surat yang telah dihantar oleh Muhammad Yusuf kepada Salina, contohnya :
Surat Muhammad Yusuf terus dibacanya: “Saya bukan hendak membimbang-bimbangkan Inah. Saya juga bukan hendak menakut-nakutkan Inah. Tapi, benarlah peperangan selalu, dan di mana-mana, membawa akibat yang tidak baik sahaja. Ia merampas segala.” 
(Salina, 1961:183)
11.0     PENUTUP
Kesimpulannya, novel Salina boleh dianggap sebagai sebuah karya yang unggul kerana mempunyai nilai estetik yang tinggi dari aspek kepengarangannya. Ciri-ciri karya yang hebat terdapat dalam novel Salina memperlihatkan keunggulan pengarang dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Ciri-ciri sebuah karya yang hebat seperti mesej, nilai budaya, pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa yang terdapat dalam sesuatu karya ini mencetuskan idealisme pengarang dalam sesebuah karya. Dalam hal ini, novel Salina memperlihatkan kepengarangan A. Samad Said yang mampu mencetuskan pemikiran, nilai dan pegangan dan menceritakan keadaan hidup bangsa Melayu selepas perang dunia kedua yang hidup dalam keadaan yang terdesak dan terpaksa melacurkan diri demi ingin terus hidup.

BIBLIOGRAFI
A.Samad Said (1961). Salina. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Yusof et. al (2009). Semantik dan Pragmatik. Kuala Lumpur:Pustaka Salam Sdn Bhd

Abdul Rahman Napiah et. al (2014). Karya     agung Melayu. Tanjong Malim:Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Aimi Abdulkarim (2006). Pendidikan kewarganegaraan : membangun warga negara yang             demokratis untuk kelas IX. Jakarta : Grafindo Media Pratama.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jos Daniel Parera (2004). Teori semantik. Jakarta : Erlangga.
Mana Sikana (2013). Berdiri di akar diri: kritikan sastera Melayu pascamoden. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.

Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005). Stilistik komsas. Tanjong Malim : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007). Komsas Pegangan Teras KeterampilanKuala Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.

Rahman Shaari (2001). Bimbingan Istilah Sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

Rosnah Baharudin, (2012). Biografi A. Samad Said : memberi hati nurani. Kuala Lumpur : Institut terjemahan dan Buku Malaysia.
Shahnon Ahmad (1994). Sastera: pengalaman ilmu imaginasi dan kitarannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Siti Aisah Murad (2007). A.Samad Said dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


3 comments:

Wawagur said...
This comment has been removed by the author.
Hamba Allah said...

boleh saya tahu ulasan ini tahun berapa ye?saya nak nak jadikan rujukan

Unknown said...

Salam, boleh saya tahu tarikh diterbitkan artikel ini ? saya nak masukkan beberapa isi penting ke dalam tugasan universiti saya.

Post a Comment